Karangan Naratif
Nama: Mohamad Farhan Bin Mohamad Feruz
Kelas: 305
Tajuk: Tuliskan sebuah cerita tentang seseorang yang telah dibesarkan dalam suasana kampung dan kini, telah mencapai kejayaan dalam kehidupan.
Aku tidak dapat menahan sebak di dada lalu membiarkan air mataku mengalir ke pipiku dengan derasnya. Melihat ibuku didera oleh bapaku sendiri, memebuat hatiku seperti dihiris-hiris sebilah pisau yang tajam. Satu soalan akan selalu bermain-main di benak fikiranku. Adakah bapaku pernah menyayangi ibuku? Walaupun hanya berumur lima tahun, aku memahami punca keganasan bapaku itu. Pengaruh dadah menyebabkannya hilang akal. Setiap hari, bapaku akan meminta wang daripada ibuku. Jikalau ibu tidak memberinya wang, ibu akan didera. Sudah beberapa kali aku cuba melindungi ibuku. Namun, buku lima bapaku yang sekeras batu akan menyinggah di badanku.
Walaupun keadaan keluargaku porak-peranda, aku masih menunggu esok hari dan tidak sabar untuk ke sekolah. Sekolah seperti rumahku yang kedua-lebih aman, lebih ramai yang menyayangiku. Di sanalah aku mempunyai ramai kawan untuk bermesra. Hatiku lapang apabila berada di sana . Segala kekusutan di fikiran akan lenyap acap kali aku di sekolah. Semasa murid-murid yang lain ghairah untuk pulang, aku mahu berada di sekolah selama mungkin. Berbeza sungguh hidupku jika dibandingkan dengan kawan-kawanku yang lain.
“Sayang, mari kita tidur,” kata-kata lembut itu menyejukkan hatiku. Aku dan ibu masuk ke dalam kamar. Masih ada bekas air mata kering di pipi ibuku. Kami pun baring di atas tilam yang terbentang di lantai. Aku dapat merasakan dakapan ibu yang hangat. Aku sangat menyayangi ibuku.
Hari berganti bulan. Bulan berganti tahun. Beberapa tahun berlalu namun aku masih hidup dalam keadaan ketakutan dan penuh kedukaan. Bagai jatuh ditimpa tangga, bapaku telah dipenjarakan. Adakah ini rahmat agar aku dan ibu tidak akan dipukul lagi? Walaupun dia telah banyak menyusahkan aku dan ibu, dia tetap bapa kandungku. Aku masih sayang terhadapnya. Tiada seorang anak yang tidak berasa sedih untuk meninggalkan bapa kandungnya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu apa tersirat di dalam kamus hatiku. Bapa ditangkap kerana mengedar dadah. Malam itu, aku menangis hingga aku terlelap. Rinduku kepada bapa semakin membuak. Kadang-kala, aku akan merenung dan memikirkan bagaimanakah hidupku jika aku mempunyai keluarga yang sempurna. Walau bagaimanapun, aku mesti menerima dugaan hidup. Aku percaya setiap cabaran dan keusahan ada hikmah di sebaliknya.
Sejak bapaku dipenjarakan, ibu harus bertungkus-lumus menyara hidup kami sekeluarga. Ibu terpaksa bekerja untuk membiayai persekolahan saya. Pendapatan ibu sebagai seorang jururawat di sebuah hospital berdekatan dengan kampung kami tidak mencukupi. Ibuku harus mencari kerja tambahan dengan menjual kuih dapatlah sekurang-kurangnya menambah wang belanja untuk kami sekeluarga. Untuk mengurangkan beban ibu, aku menolongnya berkebun di luar rumah kampung kami. Hasil pendapatan dari kebun tersebut menyumbangkan kepada kos perbelanjaaan sayur-sayuran dan buah-buahan.
Ibuku selalu menasihatiku supaya terus berusaha dan jangan sesekali berputus asa. Walaupun hidup kami sekeluarga serba sederhana, kasih sayang ibu tidak aku ketandusan. Aku berasa sangat gembira dan tidak pernah berasa kekurangan.
Pengorbanan seorang ibu tidak ada bandingnya. Dia ibaratkan seperti sebatang lilin yang membakar dirinya dan menerangi hidup orang lain. Pengorbanannya tidak ternilai dan tidak dapat dibalas walupun dengan apa yang ada di dunia ini.
Sebagai seorang anak, aku berjanji akan memberi kebahagiaan kepada ibu dan akan membalas jasa pengorbanannya apabila dewasa nanti.
Bak kata pepatah, “Syurga itu di tapak kaki ibu”.
Setahun berlalu tetapi Tuhan sudah melemparkan satu lagi ujian untukku. Seperti biasa, aku di kamarku dan sedang menelaah pelajaranku. Tiba-tiba, suara ibu memekik meminta tolong menusuk halwa telingaku. Tanpa membuang masa, aku bergegas ke dapur di mana ibu terbaring di atas lantai. Jantungku berdegup sepantas larian kuda apabila melihat darah semerah biji saga mengalir di kaki ibu. Fikiranku menjadi kalut, sekalut-kalutnya. Setelah dapat menenangkan fikiran,. Aku menghubungi ambulans dengan segera.
Di hospital, ibu dibawa ke wad kecemasan untuk dirawat. Doktor melakukan ujian MRI untuk mengenal pasti penyakit yang sedang dihidapi ibu. Pada keesokan harinya, aku mengikuti ibu ke dalam bilik ujian itu. Selepas ujian itu, kami pulang ke wad. Setelah beberapa minit dalam kesunyian, ibu akhirnya bersuara, “Bagaimana Darlina di sekolah?”
“Seperti biasalah ibu. Darlina dapat markah yang tertinggi dalam kelas,” jawabku. Sekuntum senyuman yang lebar kelihatan di raut wajah ibu lalu memuji, “Wah, pandailah anak ibu!” Aku melemparkan senyuman yang manis.
Kedengaran daun pintu diketuk lalu dikuak sedikit. Seorang doktor pun melangkah masuk ke wad. Dia sedang memegang keputusan ujian MRI itu. Doktor itu memberitahuku sesuatu yang membuatku berasa bagaikan langit telah runtuh menghempapku. Kami diberitahu yang ibu menghidapi penyakit barah di perutnya.Apa yang membuatkan mata kami terbeliak dan mulut kami terlopong ialah penyakit ibu kini di dalam tahap kedua. Telingaku disogok berita sedih.
Ibu cuba menenangkan fikiranku dengan memelukku erat. Tetapi, aku tahu bahawa di celah senyuman ibu yang hambar itu terselit perasaan yang menghimpit jiwa. Kami berdua mengikut doktor ke dalam sebuah bilik di mana dia menjelaskan lebih mendalam tentang barah perut. Ibu harus menjalani operasi untuk menyelamatkan dirinya. Namun, operasi itu amat mahal. Sepanjang hari itu, ibu muram-durja. Dia jarang bersuara. Ibu pula semakin lemah setiap hari dan aku hanya mampu mendoakan yang terbaik untuknya. Oleh kerana ibu harus dirawat di hospital, aku terpaksa tinggal di rumahku sendirian. Semua wang simpanan telah digunakan untuk membayar kos rawatan ibu.
Akhirnya,aku mendapat satu idea untuk menyelesaikan masalah kewangan kami. Sementara menunggu keputusan peperiksaan peringkat ‘A’ itu, aku mahu memberi kelas tambahan kepada murid-murid sekolah menengah supaya aku dapat membiayai kos rawatan ibu. Tanpa membuang masa, aku mula membuat risalah untuk kelas tambahan yang ingin kujalankan. Dalam masa dua minggu, kelas tambahan pun dimulakan. Alhamdulillah kelas tambahan itu mendapat sokongan yang memuaskan. Aku sangat sibuk dengan kerja baruku tetapi aku tidak lupa untuk menziarahi ibu setiap hari. Hatiku puas. Pendapatan yang aku terima cukup untuk makan minumku. Namun, aku mestibekerja dengan lebih keras untuk membiayai kos rawatan ibu.
Ibu tidak pernah putus asa untuk menggembirakan aku. Ibu sentiasa berada di sisiku. Aku gembira kerana mempunyai seorang ibu yang telah banyak berkorban demi kesenagan anaknya. Aku sedar bahawa aku tidak mampu membalas pengorbanan jasa baik ibu. Jikalau ibu sudah tua, akulah yang akan menjaganya. Akulah yang mengubati segala kesakitannya.
Guru besar, Cikgu Halim, memberitahu aku dan sahabat-sahabatku yang lain bahawa kami boleh membawa ibubapa kami semasa kami menerima keputusan peperiksaan kami. Aku membisu seribu bahasa. Ibu tentu tidak boleh melihatku menerima keputusan peperiksaan itu. Apalagi, ayahku. Hatiku menjadi sebak. Aku hanya boleh menerima keputusanku tanpa kehadiran ibubapaku. Air mata mula bergenang di kelopak mata. Air mata mulai gugur setitik demi setitik bagaikan mutiara jernih. Semua sahabatku akan ditemani ibubapa mereka. Aku? Aku hanya seorang diri. Walau bagaimanapun, aku bersyukur kerana ibu masih hidup hingga sekarang.
Hari yang dinanti-nantikan pun tiba. Aku adalah salah seorang murid cemerlang untuk peperiksaan peringkat ‘A’ di sekolah. Jauh di dasar hatiku, bunga kegembiraan mengharum sukma. Tidak sabar rasanya untuk memberitahu ibu tentang kejayaanku ini.
“Kring” Kedengaran loceng tamat waktu sekolah semasa aku mengorak langkah untuk keluar dari sekolah, bahuku tiba-tiba ditepuk. Aku menoleh belakang lalu terkejut melihat guruku Cikgu Siti. Aku terlalu gembira hingga menitiskan air mata apabila Cikgu Siti memberitahuku bahawa aku akan menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran. Aku amat bersyukur. Pintu hatiku terbuka luas seolah-olah berkata, “Terima Kasih!”.
Aku mengucapkan selamat tinggal kepada Cikgu Siti lantas menahan teksi di luar sekolah untuk menuju ke hospital. Aku pasti jika aku memberitahu ibu tentang biasiswa yang diterima, tentu ibu akan bibuai kegembiraan.
Sebaik sahaja aku tiba di hospital, aku terus ke wad ibu dengan perasaan gembira yang bersinar di mataku. “Ibu mengukirkan senyuman menandakan kegembiraan yang megetuk pintu hatinya setelah mendapat tahu tentang biasiswa itu. Kini, aku tidak perlu fikirkan tentang kos pelajaranku. Aku cuma harus memikirkan tentang kos rawatan ibu sahaja.
Setelah melanjutkan pelajaranku ke universiti, aku bertekad untuk menjadi seorang doktor. Mudah-mudahan aku dapat mencari ubat yang boleh mengubat penyakit barah dengan lebih cepat. Hingga detik ini, aku tetap berdoa agar penyakit ibu dapat dipulihkan.